sila terasa!!!



~aku x tahu nak taip apa. siyes. td berkepuk2 idea masuk. masuk je part nak taip. kosong. mana hilang idea2 aku.

*pause...hantok2 pale ke dinding*

~siyes aku lupa...nah ambik je la yang ini...malas paksa diri nak ingat...

V

V

V

V

V

V

V

V



~SILA TERASA~

pesan buat adik...

~ dia ckp suh tgk bakal adik ipar. owh ya. konon2 nak restu aku. nak berkat. pirahhh!!. sila tanya dengan Allah mana berkat itu. Sila tanya dgn ayah ibu mana restu itu. yeee, aku kasar kan bahasa. aku kenal adik aku bagaimana. dan aku harapkan gadis itu me"mahal"kan dirinya. kerana aku tahu seorang gadis itu sngat berharga. bagi aku lah kan, aku x rasa ini cara yg betul. siyes x betul. tapi aku masih santuni kata2 Hilal Asyraf....


Sebelum Aku Bernikah - Cinta Sebelum Berkahwin?


Cinta sebelum berkahwin, atau cinta sebelum nikah, amat popular ayat ini. Bahkan kebanyakan orang mengharamkannya kerana menyatakan ianya membuka ruang kepada zina. Saya tidak menyalahkan orang yang mengharamkannya, kerana jelas bahawa cinta hari ini telah dirosakkan, sehingga ianya diamalkan dengan cara yang salah, sekaligus menjadi pintu maksiat kepada ramai orang.

            Cinta mestilah berpegang tangan, cinta mestilah keluar berdua-duaan, cinta mestilah melalaikan dan mengalpkan, cinta mestilah mmenghabiskan duit, cinta mestilah membazir masa, cinta mestilah melakukan zina dan pelbagai lagi perlanggaran kepada syariat Allah SWT. Begitulah dunia menggambarkan cinta. Jadi, memang tidak hairan, cinta diharamkan sebelum bernikah.

            Namun, saya kembali kepada definisi cinta saya. Yakni:

            “Kalau benar cinta, mestilah hendak bersama ke syurga. Apa-apa yang melempar ke neraka, itu bukan cinta namanya.”

            Jadi untuk saya, cinta dengan definisi saya itu, wujud sebelum berkahwin.

Paradigma Yang Mesti Dipecahkan.

Suasana ‘bercinta’ yang kita lihat dalam masyarakat kita hari ini, saya amat yakin ianya ‘diajar’ dan ‘dididik’ daripada majalah-majalah, televisyen-televisyen, filem dan drama yang menunjukkan ‘cinta’ versi dunia. Jadi, anak-anak, bahkan orang-orang tua, yang membesar di dalam suasana ini akan mula melihat: “Kalau nak bercinta, mestilah kena macam itu.”

            Maka mereka contohi.

            Begitulah kita lihat cara pemakaian. Hari ini, cara pemakaian yang dipamerkan oleh selebriti-selebriti kita, akan menjadi ikutan. Apabila lemahnya didikan agama, dan tidak diprosesnya hubungan antara manusia dengan Allah SWT, maka public figure yang menjadi ‘Tuhan’, bukannya lagi Allah SWT. Justeru, perintah Allah SWT diletakkan ke tepi.

            Begitulah suasana membentuk.

            Justeru, satu perkara yang perlu dilakukan dalam membincangkan ‘cinta sebelum berkahwin’ ini adalah kita perlu pecahkan paradigma yang dibina oleh jahiliyyah ini. Kerana itu, salah satu cara untuk saya memecahkan paradigma ini, adalah dengan saya membina definisi cinta saya.

Cinta Itu Fitrah.

Asal cinta adalah perasaan. Sebelum perbuatan, cinta sebenarnya adalah perasaan. Jadi, Islam tidak pernah melarang perkara fitrah. Contohnya seks. Islam tidak pernah menghalang dan manfikan hak seks dalam kehidupan manusia. Kerana itu adalah fitrah. Tetapi Islam memandu manusia untuk melakukan seks pada tempatnya yang betul. Dengan caranya yang betul.

            Maka, begitulah cinta. Semestinya cinta tidak haram. Apatah lagi, cinta adalah perasaan, yang tidak boleh dikawal. Tiba-tiba jatuh cinta. Siapa sangka? Jadi mustahil Islam mengharamkan perkara yang sedemikian rupa.

            Di sinilah kita perlu membezakan antara cinta seperti pegang tangan, keluar dating, dan sebagainya tadi, dengan cinta yang ini.

            Perasaan ini, tidak haram.

            Dan tidak wujud dalil Allah dan RasulNya mengharamkan perasaan cinta sebelum berkahwin. Bahkan perasaan cinta ini diiktiraf oleh Al-Quran.

            Lihatlah firman Allah SWT:

            “Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.” Surah Al-Baqarah ayat 235.

            Ayat ini hakikatnya adalah larangan untuk meminang wanita dalam waktu edah kematian suaminya sebelum tamat edah tersebut. Hukum edah ini nyata banyak kemaslahatannya, terutama dalam menjaga nasab keturunan, juga perasaan keluarga si mati. Namun Allah SWT tidak pula melarang ‘sindiran’ atau kiasan yang membawa maksud untuk meminang. Juga tidak diharamkan niat dan perasaan cinta yang menggerakkan rasa untuk meminang itu tadi. Ini semua hakikatnya adalah pengiktirafan kepada Jatuh Cinta, menyatakan betapa itu fitrah, hingga Allah sendiri tidak melarangnya. Tinggal, Allah SWT memberikan peraturan kepadanya. Ada tatacaranya. Bukan boleh diterjah begitu sahaja.

            Jadi, tiada masalah cinta sebelum berkahwin.

            Tinggalnya, apakah kita menjaga batas-batasnya?

Cinta Adalah Ingin Bersama Ke Syurga.

Saya bina definisi cinta saya sedemikian, kerana ingin membina disiplin di dalam bercinta.

            Cinta adalah ingin bersama ke syurga. Maka jika benar saya mencintai orang yang saya cintai, maka saya akan berusaha agar saya berada di syurga, dan dia berada di syurga. Maka semestinya jalan ke syurga ini tidak akan diisi dengan kemaksiatan. Semestinya syurga itu, tidak akan mampu dicapai  dengan kemungkaran kepada Allah SWT.

            Dan hendak pergi ke syurga, semestinya perlu membina diri menjadi yang lebih baik lagi. Perlu membina hati supaya menjadi yang lebih bersih lagi. Jadi mustahil hendak diisi waktu ini dengan perkara yang merosakkan diri, dengan tidak berbuat apa-apa?

            Maka memperkasakan peribadi, mematangkan diri, meningkatkan kekuatan jiwa, adalah aktiviti-aktiviti yang mesti diusahakan, jika benar kita cinta kepada orang yang kita cintai. Kita akan mula berfikir betapa diri kita ini jika tidak pernah cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk membina diri, bagaimana pula kita mahu memimpin pasangan kita ke syurga nanti?

            Ya.

            Maka jika kita definisikan cinta adalah ingin bersama ke syurga, kita akan mula melihat satu suasana lain dalam alam percintaan ini.

            Cinta adalah usaha memperkasakan ibadah. Cinta adalah usaha membina kebersihan hati. Cinta adalah usaha mempunyai kekuatan jiwa. Cinta adalah usaha mempunyai kecantikan peribadi. Cinta adalah usaha mempertingkatkan kefahaman Islam. Cinta adalah usaha mencapai kemampuan berkahwin.

            Ya. Itulah dia cinta. Bukan lagi seperti versi yang sebelumnya.

            Dan perkara ini berjalan dari sebelum berkahwin, dan berterusan hingga selepas berkahwin.

Apa-apa Yang Melempar Ke Neraka Bukan Cinta Namanya.

Saya letakkan ini sebagai pelengkap definisi cinta, agar segala jenis maksiat tidak masuk dalam urusan cinta. Ya, amat pelik bila kita menendang seseorang ke dalam api, kemudian kita mengaku kita cinta akan dia.

            Maka bila memahami bahawa apa-apa yang melempar ke neraka itu bukan cinta namanya, kita akan tidak sesekali memasukkan kemaksiatan di dalam percintaan kita.

            Kita tidak akan larut dengan perasaan sehingga mendatangkan kelalaian, menganggu kehidupan dan pengabdian kita kepada Tuhan. Kita tidak akan mengajak pasangan kita melangkah batasan yang Allah tetapkan, seperti keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, berhabisan duit sehingga membawa kepada pembaziran, menghabiskan waktu bergayut dengan telefon dan sebagainya sehingga terabai segala kerja dan pelajaran. Dan semestinya, perkara seperti zina, menggadai maruah, jauh tidak termasuk ke dalam cinta dengan definisi ini.

            Jadi, apa-apa sahaja yang keterlaluan dan membawa kita ke lembah kelalaian, kealpaan, kemaksiatan kepada Allah SWT, maka itu jelas bukan satu cinta.

            Di sinilah seorang pencinta yang memahami, yang benar-benar mencintai, akan berjaga-jaga dan berdisiplin!

Kejumudan Terhadap Cinta.

Kejumudan terhadap cinta, dan salah faham manusia terhadapnya menyebabkan ramai orang lain terseksa. Cinta yang sepatutnya indah, menjadi perit dan sukar. Cinta yang sepatutnya boleh dilayari dengan mudah, menjadi tersangat susah.

            Kita semua maklum bahawa petunangan tidak menghalalkan apa-apa. Namun kita sepatutnya maklum bahawa medan pertunangan, ada kelonggaran untuk memberikan ruang agar bibit-bibit cinta itu muncul, agar bibit-bibit perkenalan itu berputik, agar kita rasa senang dengan pilihan kita dan merasa yakin dengannya.

            Tetapi oleh kerana kefahaman bahawa ‘cinta sebelum berkahwin itu haram’, melekat kemas dalam peribadi manusia-manusia ‘soleh&solehah’ hari ini, hingga kala pertunangan pun, disempitkan cinta sesempit-sempitnya.

            Telefon tidak boleh. Walaupun bukan untuk bermadu asmara. Untuk urusan yang penting!

            Berjumpa tidak boleh. Walaupun dengan ditemani Ibu Bapa!

            Sebab itu kadangkala, dengan manusia sebegini, pertunangannya bergoncang, dan ada yang sehingga putus. Mereka tidak memahami betapa Islam itu turun untuk manusia, bukan para malaikatNya yang sempurna.

            Manusia ada hati dan perasaan. Ada jiwa. Dia akan mudah diganggu. Jadi mengapa jika ada urusan penting, seperti urusan-urusan yang menghala ke arah perkahwinan, atau bila ada salah faham yang berlaku, kita tidak boleh selesaikan dengan telefon?

            Saya pernah bertemu dengan seorang lelaki, yang ingin mengajak tunangnya untuk mengawalkan perkahwinan mereka. Lelaki itu, bersungguh-sungguh membeli hadiah, dan mengirimkan kepada tunangnya, bersama di dalamnnya wujud lamaran.

            Tetapi, perempuan itu menolak begitu sahaja, dalam keadaan tidak mahu berbincang dengan telefon. Dan akhirnya mereka bergaduh besar. Lelaki itu, telah berusaha bersungguh-sungguh, keluar duit dan sebagainya, untuk menghalalkan hubungan mereka agar boleh dinaikkan ke satu tahap lagi, namun tunangnya itu menolak mentah-mentah.

            Saya yang melihat perkara itu, bertanya kepada sahabat saya itu:

            “Apa sebab dia tolak mentah-mentah je macam itu?”
            “Dia kata, kalau orang dah kata tak nak, tak naklah.”
            “Telefonlah. Bincang elok-elok. Biar dia dengar suara kau.”
            “Dia tak mahu. Katanya, email sudah cukup. Email tak bernada Lal! Dia yang kata nak bercinta lepas kahwin, bila ajak kahwin, dia macam-macam hal pula.” Luah hati sahabat saya itu.

            Saya bersimpati dengannya. Begitulah kejumudan merosakkan hubungan antara dua manusia.

            Apa salahnya telefon atas perkara sepenting itu?

            Begitukah Islam ajar? Begitukah sekali ‘haramnya cinta sebelum kahwin’ hingga merosakkan hubungan pertunangan yang terbina? Bukannya lelaki itu buat benda yang tidak syar’ie.

            Kemudian dikatakan haram sekiranya ada perasaan rindu. Astaghfirullah. Rindu itu bukankah satu fitrah? Mengapa diharamkan? Pada saya, bila fitrah diharamkan, maka menjadilah Islam itu kelihatan seperti agama lain yang mengharamkan pelbagai fitrah insan. Islam ini, lahirnya mengawal. Maka mengapa mengharamkan rindu? Sepatutnya, ceritakanlah bagaimana rindu yang sepatutnya. Ceritakanlah bahawa rindu tidaklah boleh sehingga menganggu kehidupan dan menganggu ibadah. Begitulah.

            Ekstrimis Zina Hati ini, sehingga sampai satu tahap, tunang dengan tunang hendak keluar bersama, ditemani keluarga dari kedua-dua belah pihak(Ibu dan Ayah kedua-duanya), pun dikatakan satu zina hati. Sedangkan kehidupan ini diselit seribu satu dugaan. Mereka sudahlah tidak bercouple dan tidak sentiasa bersama. Mungkin ada pula antara manusia yang bertunang ini, belum benar-benar kenal satu sama lain. Justeru, apa salahnya keluar bersama dengan diiringi Ayah dan Ibu mereka? Di situlah peluang mereka benar-benar melihat dan memerhatikan pasangan mereka. Menambah keyakinan dan kekuatan perasaan yang mereka ada, pada pilihan yang mereka buat.

            Tetapi kita terus-terusan menyempitkan Islam sesempit-sempitnya. Seakan tiada ruang untuk fitrah manusia keluar melihat cahaya, untuk dipandu ke arah yang sebenarnya. Kita ini manusia, bukan para malaikat. Itu satu perkara penting yang perlu difahami. Islam itu turunnya buat kita yang manusia ini. Ini bukannya sama dengan hubungan bebas tanpa batas. Ini tidak sama sekali serupa dengan kelalaian dan kealpaan yang menggila, yang dibawa oleh cinta yang didefinisikan dunia. Sudah pelbagai batas wujud di dalam perkara ini, itupun masih mahu disempit-sempitkan lagi oleh Ektrimis Zina Hati.

            Kerana itu, saya sentiasa berhajat untuk membetulkan dan memecahkan kejumudan ini.

            Definasi cinta yang sebenar. Kita perlu kembali kepad yang itu.

            Bukan masih terikat dengan fobia kita terhadap cinta versi dunia.

Zina Hati?

Namun apa yang popular dalam mengharamkan percintaan sebelum nikah adalah terma ‘Zina Hati’ sebagaimana yang saya ulang-ulangkan pada subtopik yang sebelum ini. Terma ini diambil daripada hadith Rasulullah SAW:

            “Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya.” Hadith Riwayat Muslim.

            Jadi, diangkat perihal ‘Zina Hati’. Zina hati ini biasanya ditafsirkan dengan perasaan dan gejolak bayangan di dalam hati, akan perkara-perkara yang busuk dan salah di sisi Islam. Contohnya, kita terlalu membayangkan orang yang kita cintai, terganggu ibadah kita kerana asyik mengingati Si Dia, terganggu pula urusan kehidupan kita dan sebagainya. Dan semestinya termasuk di dalamnya sekiranya kita membayangkan membuat perkara-perkara yang buruk dengan orang yang kita cintai itu.

            Namun terma Zina Hati ini akhirnya digunakan ke peringkat yang amat ekstrim.

            Hingga jatuh cinta adalah Zina Hati. Hingga teringat adalah Zina Hati. Hingga mempunyai perasaan cinta adalah Zina Hati. Seakan-akan, apa-apa sahaja lintasan perasaan, atau rasa cinta yang wujud sebelum perkahwinan adalah merupakan satu zina dan dosa. Daripada titik tolak ini, maka ibarat taufan yang menerjah, golongan ini mengharamkan itu dan ini, sekaligus menyempitkan makna cinta yang sebenar. Alasannya, hendak menutup lubang yang lebih besar.

            Pada saya ini adalah satu kesilapan yang tersangat fatal. Islam kelihatan sempit apabila dibawa sedemikian rupa.

            Telah saya jelaskan dalam isu Islam mengiktiraf cinta. Maka tadi jelas bahawa mempunyai perasaan cinta tidak haram. Mengingati orang yang kita cintai tidak haram. Rindu kepada orang yang kita cintai itu tidak haram. Tetapi mestilah tidak berlebihan. Perlulah kita berusaha mendisiplinkan diri, dan berusaha membina peribadi yang mapan jika benar-benar mahu perasaan itu dimanifestasikan dengan perkahwinan.

            Saya yakin, kita semua bersetuju ianya adalah haram, berdosa, sekiranya hingga menganggu ibadah dan kehidupan. Tetapi apakah perlu kita memadamkan terus perasaan cinta? Tidak.

Asy-Syahid Syed Qutb apabila mentafsirkan ayat 235 Surah Al-Baqarah yang saya nukilkan tadi, menyatakan dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangannya:

            “Dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah, tetapi membajainya. Dan tidak menekan naluri kemanusiaan, tetapi mengawalnya.”

            Begitulah Asy-Syahid Syed Qutb mentafsirkan ayat tersebut, sebagai mengakui bahawa Islam tidak terus memadamkan perasaan cinta itu, tidak melarang cinta sebelum kahwin itu. Tetapi, dalam konteks ayat tadi yang membicarakan perihal eddah, perlulah pencinta menghormati waktu eddah tadi dengan tidak melamar perempuan itu kala eddahnya belum habis.

            Maka begitulah mereka yang mempunyai perasaan cinta sebelum kahwin. Perlulah menghormati batas-batas yang Islam telah tetapkan. Tidaklah boleh keluar bersama tanpa batasan, tidaklah boleh bercumbu-cumbuan, tidaklah boleh bermadu asmara baik di alam realiti atau di alam maya.

            Tetapi perasaan cinta itu perlulah digerakkan ke arah perkahwinan. Berusaha secara serius mempersiapkan diri. Berusaha menyegerakan perkahwinan dengan berusaha menyegerakan pemantapan peribadi. Berusaha mencapai mampu. Berusaha menggapai matang. Itulah dia bukti cinta. Ditolak oleh perasaan cinta sebelum berkahwin itu. Serius.

            Zina Hati tidak boleh dipakai untuk cinta yang sedemikian rupa.

            Zina Hati hakikatnya pada saya, hanya boleh dipakai untuk orang yang memang menaruh niat untuk berzina, mengharapkan nikmat bersetubuh di luar hukum syara’, dan mereka yang telah melalaikan kehidupan dan ibadah mereka kerana kemaruk dalam dunia percintaan yang entah ke mana.

            Tetapi untuk mereka yang punya perasaan cinta yang sebenar, serius untuk berkahwin, bergerak dengan bersungguh-sungguh ke arahnya, maka bagaimanakah kita boleh menakut-nakutkan mereka ini dengan terma Zina Hati ini?

            Nyata ini adalah satu perkara yang ekstrim, dan membunuh fitrah insani.
            Sekaligus mempalitkan kepada Islam wajah kejumudan yang menjadi fitnah kepada orang yang memerhati.

Penutup: Dari Menyalahkan Cinta, Mengapa Tidak Kita Membersihkannya?

Justeru, mengapa kita perlu terus berlari dalam bulatan, dan berputar dalam isu yang sama?

            Cinta sebelum kahwin haram. Cinta sebelum kahwin haram. Itu tidak menyelesaikan apa-apa pada saya. Yang mampu bertahan, ya mampu bertahan. Tetapi kita perlu tahu bahawa kita tidak hidup dalam komuniti malaikat. Berapa ramai yang mampu bertahan?

            Mengapa tidak kita membersihkan definisi cinta, dan mengajar manusia bagaimana mahu bercinta sebelum kahwin dengan betul. Bagaimanakah cinta sebelum kahwin yang sebenar. Di situlah kita sebenarnya telah memberikan keadilan kepada cinta, dan kepada manusia yang fitrahnya mahu mencintai dan dicintai.

            Saya yakin, itu akan membawa lebih ramai lagi ke atas jalan cinta yang bersih dan syar’ie, di samping membasmi kejumudan yang membawa kerosakan kepada hubungan, seperti yang saya nyatakan tadi.

            Saya sentiasa percaya bahawa cinta sebelum kahwin itu halal, dan ada.

            Dan batasnya adalah ianya mesti membawa ke syurga, dan apa-apa yang membawa ke neraka itu bukanlah cinta namanya.      

sumber : Hilal Asyraf                  


~SILA TERASA~

3 ulasan:

  1. salam alaik.

    haiyoohh garang benor ahkak haa... bese la tu jannah weh budak2 nak masuk umur org tua mcm kita.

    klu budak tu memahalkan dirinya alhamdulillah. i know y r u so garang sampai terbyg kat mesir ni jannah membantai adik jannah hoho... sbb jannah tahu apa perasaannya jd perempuan. me too.

    jgn bantai betul adik ang sudah. takut jannah yg masuk hospital karang. insyaALLAH adik jannah akan dikurniakan kefahaman dalam bab ikhtilat ni, ALLAH akan bg. jgn marah2 tau, ngeri benor teman mbacenye. doa la supaya dia paham betul awat takleh wat lagu tu.

    jgn marah sgt, tkut nti dia faham ikut lain pulak. bg dia penerangan knp dan knp... iA ye pehe lah tu. org pnh marah adik org, xbg dia ade couple tp org tak trgkn pulak knp xbuleh. last2 sbb dia tak faham tercouple jgk... nasib baik dh putus. phewww...

    slmt njuang jannah!

    BalasPadam
  2. waaaa~~~ saya dengan adik sngat lah garangg...wuwuwuw~~~ dengan ayat paling membunuh...

    "aku kan kakak!!!"

    hakhak :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehhh... ade org bgthu kite jgn grg sgt (pompuan)

      bhy girls bekeng sgt

      Padam

nak komen? nak sentap? nak maki? nak puji?
aku tak kisah pon....
theee XD